Saturday, January 28, 2012

Rumahku Penuh??!!


Bulan Januari dan Februari setiap tahun, kawasan London akan dipenuhi oleh pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara Malaysia. Tak kira orang tu belajar dekat Manchester atau Liverpool sekalipun, dia masih dianggap sebagai pelajar luar negara Malaysia bila tapak kakinya memijak bumi London.

Maka pada saat dan ketika ini, teratak 'buruk' saya menjadi pusat tumpuan persinggahan tetamu dari serata dunia. Gembira tengok mereka. Skill memasak saya turut teruji, terutama bila nak masak untuk perut kepada 20 orang manusia yang normal.

Kalau difikir secara logik, manusia tak kan mahu fikir tentang orang lain. Kenapa pula nak fikir pasal orang lain? Bukannya orang tu fikir pasal kita pun nanti.

Secara hakikatnya, manusia memang dicipta dengan perasaan individualistik. Kita berbuat baik kepada orang lain untuk melabur dalam saham akhirat. Pada Hari Akhirat nanti pun, kita dihisab sendiri-sendiri, bukan beramai-ramai.

Seperti kata Charles Darwin dalam bukunya yang popular, "Survival of the Fittest", manusia memiliki sifat individualistik secara semulajadi; hanya pada waktu yang tertentu ketika mereka dalam keadaan terdesak, berulah mereka akan bekerjasama dengan orang lain.




Tapi ada hadith Rasulullah berkaitan dengan tetamu dalam Hadith Arbain iaitu 40 hadith yang disusun oleh Imam Nawawi mengikut prioritinya. Hadith ini ialah hadith yang kelima belas.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata tentang perkara yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." 

Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam hadith diatas kita boleh lihat betapa pentingnya untuk kita memberikan perkhidmatan berupa first class kepada tetamu-tetamu kita. Hatta, kawan serumah datang ke bilik kita pun dikira sebagai tetamu. 


Tahu tak tetamu datang membawa rahmat dari Allah. Sedangkan rumah yang kita duduk ni pun kurniaan dan rahmat dari Allah, apa pula hak kita untuk tak nak berkongsi kesenangan yang Allah berikan tu.

Ada satu kisah sahabat Rasulullah yang mana beliau menerima tetamu di saat makanan yang ada dirumah hanya mencukupi untuk dia dan isterinya. Beliau menyuruh isterinya masak kesemua makanan yang ada, kemudian apabila dihidangkan kepada tetamu, mereka menggelapkan rumah dan berpura-pura makan bersama tetamu. Hakikatnya mereka membiarkan makanan itu hanya dimakan oleh tetamu.

Apa yang membuatkan sahabat nabi sanggup berlapar semata-mata untuk memuliakan tetamu? Jawapannya hanyalah satu: beliau beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Dalam Rukun Islam dan Rukun Iman, sekiranya kita tidak beriman kepada satu perkara, maka pincanglah islam dan iman dalam diri kita.

Kadang-kadang kita rasa tetamu selalu datang masa yang tak sesuai. Masa kita sibuk dengan assignment la, masa kita exam la, masa kita memang sibuk dengan kerja-kerja kita. Tapi sedar tak kita, kalau tak meraikan kedatangan tetamu tu, kita boleh jadi orang yang tak beriman kepada Allah dan Hari Kiamat.

Hatta sebanyak mana pun kerja yang kita ada, luangkan sedikit masa untuk bermuayasyah bersama-sama tetamu. Sekurang-kurangnya kenal nama pun tak apa. Tak rugi apa pun. Barulah kita rasa networking friends kita semakin meluas.

Walaupun ada keterangan ulama' yang mengatakan sekiranya orang yang kita kunjungi itu tidak mampu untuk menerima tetamu, maka tidak harus kita menyusahkannya. Erti kata yang lain, tak payah la jadi tetamu kepada dia, carilah hostel atau tempat tinggal yang murah dan bersesuaian dengan bajet.Terkadang kita terlampau nak jimat duit sampai kita tak sedar yang kita sedang menyusahkan tuan rumah tu. 

Tapi, masih jatuh hukum wajib kepada seorang muslim untuk memberikan perlindungan dan tempat tinggal kepada muslim yang lain, terutama ketika mereka sedang bermusafir.

Jadi, masih nak menolak tetamu bila nak menumpang?

1 sayings:

nuryn said...

semoga Allah terima amal skyn, dan menjadi hujah pembela, pemberat timbangan di akhirat kelak :)